Usaha Tambahan (luaran) Bagi Mendapatkan Khusyuk Dalam Solat.
(Petikan daripada buku Formula Solat Sempurna oleh Ust Zaharuddin Abd Rahman)
Setelah mengusahakan kaedah dalaman seperti membetulkan akidah, memahami maksud bacaan, membersihkan diri dari segala dosa, perbuatan dan makanan yang haram maka hendaklah diusahakan perkara-perkara berikut bagi menambahkan lagi peluang khusyuk.
- Menjauhkan mata dari memandang perkara-perkara yang menarik perhatian seperti menggunakan sejadah, kain dan baju yang terlalu banyak gambar dan tulisan.
- Mengurangkan pergerakan anggota badan tanpa keperluan, terutama mata hendaklah ditumpukan kepada tempat sujud sahaja.
- Hendaklah mengambil wudhu dengan tenang dan tidak bergegas melangkah ke tempat solat.
- Membaca istiazah dalam hati ketika minda tidak memberi tumpuan kepada solat.
- Ditegah solat dalam keadaan lapar dan perasaan ingin membuang air kecil atau besar.
- Meletakkan sutrah dihadapan tempat sujud agar tiada orang yang lalu lalang dihadapan.
- Mendiri solat secara berjemaah.
- Melaungkan azan dan iqomat sebelum mendirikan solat walaupun solat bersendirian.
- Menjauhkan tempat solat daripada suasana yang bising dan hingar bingar.
Penulis ingin menambah pengetahuan yang disunting daripada kitab Sabiilal Muhtadin bahawa terdapat disana beberapa keadaan yang dimakruhkan dalam solat yang mana ia akan menghilangkan kekhusyukkan ialah seperti berikut:
- Imam yang kurang baik bacaannya.
- Badan atau bau mulut yang tidak menyenangkan.
- Dalam keadaan mengelakkan diri dari dicari oleh sipenghutang atau dari orang yang dimusuhi.
- Bersolat diatas jalanraya atau kawasan lalulalang orang ramai.
- Bersolat dikandang haiwan.
Diceritakan oleh Ibnu Umar r.a bahawa nabi s.a.w pernah bersabda ketika perang di Khaibar:”Sesiapa yang memakan buah ini, iaitu bawang, maka janganlah dia mendekati masjid kita ini.”
Sekiranya membaca AlQuran dengan nyaring disamping orang yang sedang tidur, berjualbeli atau mencari barang yang hilang di dalam masjid adalah ditegah, apatah lagi berbual didalam masjid mengenai hal-hal lain yang sia-sia, sehingga mengganggu orang yang sedang solat sudah tentu lebih besar kesalahannya.
Oleh itu bagi mendapatkan khusyuk yang sebenar, Allah swt menyarankan kepada kita supaya mendirikan solat sunat diwaktu malam. Keadaan ini akan menghapuskan segala faktor-faktor yang mengganggu dalam solat seperti yang telah disebutkan di atas tadi.
إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْءاً وَأَقْوَمُ قِيلاً
Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan.(Al Muzammil - ayat 6)