«اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ
سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ،
وَأَعُوذُ
بِكَ مِنْكَ، لاَ أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى
نَفْسِكَ»
رواه مسلم
Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung dengan
keredhaanMu dari kemurkaanMu; dan (berlindung) dengan keafiatanMu dari
siksaanMu; dan daku berlindung denganMu daripadaMu. Daku tidak mampu meluahkan
segala pujian ke atasMu; kerana Engkau sepertimana yang Engkau puji sendiri ke
atas diriMu. (HR Muslim).
Maksud doa ini,
Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung dengan
keredhaanMu dari kemurkaanMu; Keredha-an Allah swt adalah matlamat hidup mukmin, hamba mukmin
bergiat menjauhkan diri dari punca-punca kemurkaanNya. Manusia terbahagi dua,
golongan yang berbahagia adalah mereka yang kehidupannya diredhai Allah. Sedang
golongan yang merugi adalah mereka yang terjerumus ke dalam kemurkaan Allah.
Hamba yang menegakkan solat, shiyam, zikir, dan lain-lain yang diredhai Allah
adalah yang bergiat menjaga keutuhan amalan yang mereka lakukan. Sedang si
hamba yang terjatuh ke dalam kemurkaan Allah, tidak bergiat menjauhi
punca-punca ibadatnya terhapus dan terhebah, wal ‘iyazu billah!!!
“dan (berlindung) dengan keafiatanMu dari
siksaanMu“ ‚Keafiatan’ adalah
termasuk perkata-an Arab yang telah diguna-pakai dalam bahasa Melayu. Dan
termasuk perkataan yang terpenting di dalam kehidupan mukmin. Oleh itu si
mukmin digesa membaca dan berdoa dengannya semasa solat (doa duduk antara dua
sujud, waa’fini, berilah daku keafiatan). Termasuk makna
keafiatan ialah terhindar dari:
-
Segala penyakit jasmani dan penyakit rohani.
-
Dosa dan punca-punca dosa.
-
Punca-punca penyebab iman jadi lemah.
-
Punca-punca keberkatan harta benda dan usia
hilang.
-
Suul khatimah (kesudahan yg buruk).
-
Azab kubur, azab padang mahsyar.
-
Dari azab neraka...
-
Dll
Dalam pada itu ’seksaan Allah’ di dalam doa pula adalah
segala perkara yang bercanggah dengan ’keafiatan’ tersebut. Oleh itu jika si
hamba tidak beroleh ’keafiatan’, ia akan terdedah kepada ’siksaan’. Media
elektronik pada masa kini adalah punca utama manusia terjauh dari keafiatan dan
terdedah kepada ’siksaan’. Dalam hal ini yang paling anehnya ’seksaan’ jenis
ini sangat selaras dengan kehendak nafsu
jahat (ammarah dan lawwamah), wal ’iyazu billah...
’dan daku berlindung denganMu daripa-daMu’. Ungkapan
ini mengandungi, doa, harapan, pengakuan, penyerahan, atau tawakal yang jitu,
bulat, dan sempurna kepada Allah. Bahawa si hamba memohon perlindungan,
penjagaan Allah, kerana segala peristiwa dan keadaan yang berlaku adalah dengan
ketentuan Allah. Allah adalah sebaik-baik tempat berlindung (ni’mal maula wa
ni’man nasir). Sesiapa yang berlindung kepada Allah tidak akan memiliki
sebarang kerunsingan, kerana Allah telah cukup baginya (fahua hasbuhu).
‚Daku tidak mampu
meluahkan segala pujian ke atasMu’. Hal
ini menunjukkan keagungan dan ketinggian Allah yang tiada tara, (laisa
kamislihi syaiun). Tidak ada manusia yang mampu mengemukan pujian kepada Allah.
Kerana hal ini adalah diluar keupayaan manusia. Ungkapan doa ini adalah satu
pujian yang tinggi. Bila si hamba mengatakan bahawa ia tidak mampu memuji Allah
Tuhan Yang Maha Tinggi, dan Yang Maha Agung, bermakna ia memberikan pujian
kepada Allah setinggi-tingginya.
‚kerana Engkau
sepertimana yang Engkau puji sendiri ke atas diriMu’. Hanya
Allah sahaja yang tahu akan hakikat sifat, kekuasaan, dan keagungannya. Ini juga
termasuk pujian dan sanjungan yang tinggi. Bila pujian yang tinggi seperti ini
ditujukan kepada Allah, sedangkan termasuk sifat Allah adalah, Maha Pemurah,
Maha Penyayang, Maha Pengampun, Maha Pemaaf, Allah lebih kasih kepada hambaNya
dari si hamba terhadap dirinya. Bila inilah hakikat dan maksud tujuan doa
tersebut maka sangat diharapkan doa yang merupakan induk segala doa ini
didengar dan dikabulkan oleh Allah swt. Maka patut benarlah Rasulullah
mengajarkan doa ini kepada kita, terutama semasa sujud dalam solat, khasnya
solat tahajud, dan solat-solat sunat lainnya. Tidak salah juga jika dibaca
dalam doa harian. Doa ini sangat sesuai bagi semua peringkat usia, terutama
golongan veteran.