Kalendar 2019

Kalendar 2019

Saturday, January 15, 2011

Kefahaman dan Perbuatan Yang Salah Dalam Solat

Kursus kedua pemantapan solat telah sempurna diadakan di Surau AlFalah pada 15hb Januari 2011 mulai jam 9:00pagi hingga jam 12:30 petang. Kehadiran peserta kursus yang terdiri daripada muslimin dan muslimat amat menggalakkan. Peserta terdiri daripada wakil surau daripada Kawasan 6B, 6C dan Council Home juga turut hadir.

Pembimbing kursus didatangkan khas daripada INFRA Bangi iaitu Ustaz Mohd Nadzri Mustakim. Beliau telah berjaya menjadikan kursus ini sesuatu yang menarik dan memberi banyak manfaat kepada peserta.

Banyak perkara menarik yang telah dibincangkan bagi kesempurnaan solat. Antara perkara-perkara yang menjadi topik utama yang telah dibincangkan adalah seperti berikut:
  1. Meluruskan saf:
    • Kaki dan tumit hendaklah dirapatkan serta berusaha meluruskan menghadap kiblat. Ini jarang dilakukan walaupun ummat Islam sedar bahawa menjarangkan saf itu memberi ruang kepada gangguan syaitan.
  2. Mehrab:
    • Ruang dihadapan imam berdiri dipanggil mehrab, dimana istilah dalam bahasa arab disebut sebagai tempat perang. Ketika seseorang itu bersolat, ia sedang berusaha bersungguh-sungguh sedang berperang dengan nafsunya/akalnya dan juga syaitan yang berusaha melarikan penumpuannya terhadap Allah. Oleh itu khusyu' bukanlah erti tidak sedar apa yang berlaku disekeliling tetapi khusyuk adalah sejauh mana hati memberi tumpuan kepada Allah.
  3. Imam Membaca Surah:
    • Sering berlaku dalam masyarakat dimana seseorang imam itu akan terus dengan segera membaca surah sejurus sahaja selepas selesai membaca Surah AlFatihah. Cara ini tidak memberi peluang makmum membaca surah Al Fatihah dengan sempurna dan tidak berpeluang mendengar bacaan imam dengan baik dan sempurna.
  4. Duduk Tahyat Awal/Akhir:
    • Beradasarkan kepada hadis Rasulullah saw, kesempurnaan sujud diatas 7 anggota itu adalah dengan merapatkan sebahagian jari-jari kaki ke tempat sujud. Kaedah ini akan menjadikan hujung jari kaki menghadap Kiblat. Sering terjadi hujung jari kaki tidak sempurna ketika sujud, kadangkala sujud di atas kuku kaki atau tapak kaki bersilang atau juga condong.
  5. Memanggil Makmum Hadapan:
    • Ketika memanggil makmum hadapan undur kebelakang untuk sama-sama mendapat pahala jemaah, sering berlaku kesilapan dimana orang yang datang lambat terus mencolek bahu makmum hadapan sebelum bertakbir untuk solat. Perlakuan ini termasuk dalam kesalahan mengganggu orang yang sedang bersolat. Mencolek bahu orang hadapan hendaklah dilakukan selepas selesai takbiratul ihram.
Inilah antara beberapa perkara yang dapat dinukil untuk perhatian umum. Nota kursus telah memperinci penerangannya dengan memberikan hujah berasaskan hadis Rasulullah saw. Semoga kursus selanjutnya akan dapat dilaksanakan secepat mungkin InsyaAllah.






No comments:

Post a Comment